
بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
Setiap kali kita mulakan sesuatu dengan “Bismillah”, sebenarnya kita sedang sebut:
“Ya Allah, aku nak buat perkara ini dengan nama-Mu, dengan dekat kepada-Mu, dan dengan harapan Engkau tolong aku.”
Kadang-kadang kita baca Bismillah hanya sebagai habit. Tapi hari ini, cuba rasai maknanya.
بِسْمِ اللهِ
Dengan Nama Allah;
“Bismillah” = Aku mula sesuatu dengan bantuan Allah
Ulama’ kata huruf بِ (ba’) dalam Bismillah ada dua maksud penting iaitu mendekatkan diri dengan Allah SWT dan mohon pertolongan.
🌟 Ba’ Musaahabah – Mendekatkan diri dengan Allah
Maksudnya:
“Ya Allah, aku nak buat perkara ini agar aku dekat dengan-Mu.”
Ini sangat penting. Sebab kita selalu buat banyak benda:
Nak score exam Nak kawal emosi bila stress Nak berubah jadi lebih baik Nak elakkan kawan toksik Nak jaga solat, akhlak, hijrah diri Nak kurangkan scrolling sampai lewat malam
Semua ini perlukan kekuatan dalaman — dan Allah bagi kekuatan itu bila kita mula dengan Bismillah.
Sedarkah kita, kadang-kadang benda kecil pun tak akan jadi tanpa izin Allah. Contoh paling senang:
“Kalau Allah tak izinkan kita telan makanan pun, kita tak boleh telan.”
Maksudnya, kita sangat bergantung pada Allah walaupun untuk benda paling kecil. Jadi bila mulakan sesuatu dengan Bismillah, itu tanda hati sedang cuba dekat dengan Allah.
🌟Ba’ Istiaanah – Meminta pertolongan Allah
Maknanya:
“Ya Allah, aku tak kuat. Tolong mudahkan.”
Ramai remaja rasa:
“Kenapa susah nak fokus belajar?” “Kenapa aku sedih tanpa sebab?” “Kenapa aku tak rasa bersemangat macam orang lain?” “Kenapa aku tak boleh tahan diri dari buat dosa yang sama?” Sebenarnya…
Memang kita tak kuat. Dan Allah memang nak kita minta tolong.
Setiap kali kita sebut Bismillah, kita macam berkata:
“Ya Allah, aku usaha, tapi kejayaan hanya dari Engkau.”
“Kalau Engkau tolong, yang susah jadi mudah.”
Kadang usaha sikit je, tapi hasil besar.
Itulah barakah — keberkatan yang Allah bagi.
Nama “Allah” – Nama yang paling agung
Bila kita sebut “Allah”, kita sedang panggil satu nama yang:
Tidak pernah diberikan kepada sesiapa pun selain Dia Mengandungi semua sifat-sifat kesempurnaan Menenangkan hati bila disebut Nama Allah sudah cukup untuk mengingatkan kita bahawa: Dialah yang menjaga kita Dialah yang tahu semua perasaan kita Dialah yang tak pernah tinggalkan kita
الرَّحْمَٰنِ
yang Maha Pemurah
Nama Allah ar-Rahmān menggambarkan kasih sayang Allah yang sangat luas, yang meliputi SEMUA makhluk — tanpa mengira bangsa, agama, atau siapa kita.
Cuba renungkan, ar-Rahmān umpama kasih sayang seorang ayah… tetapi jauh lebih besar dan sempurna daripada mana-mana kasih sayang manusia.
Kasih sayang yang tegas, bukan manja semata-mata.
Kadang-kadang kasih sayang bukan bermakna kita dapat semua yang kita nak.
Kadang-kadang kasih sayang bermakna ketegasan.
Macam seorang ayah yang:
memaksa pergi sekolah walaupun kita merungut
mengambil telefon bila kita terlalu leka
marah bila kita malas solat atau mungkir janji
bagi hukuman untuk bentuk disiplin
Tujuannya bukan untuk sakitkan kita —
tapi untuk jadikan kita versi terbaik diri sendiri.
Begitulah sifat ar-Rahmān.
Allah bagi ujian, kepayahan, struggle…
Bukan sebab Allah benci kita,
tapi sebab Allah nak kita bangun, matang, dan kuat.
Allah sayang kita walaupun kita perlu susah sikit
Kadang kita rasa ibadah itu susah:
Solat 5 waktu setiap hari
Puasa panas-panas
Jaga aurat bila semua orang ikut trend lain
Tahan diri dari dosa bila kawan-kawan buat benda tak baik
Itu semua nampak berat.
Tapi, ingat:
Jika kesusahan itu membawa kita dekat dengan Allah, itu tanda rahmat Allah.
Macam kawan yang paksa kita belajar untuk kebaikan kita sendiri.
Atau jurulatih sukan yang push kita sampai penat—sebab dia nak lihat kita berjaya.
Begitu juga Allah.
Allah beri ibadah bukan untuk menyusahkan, tapi untuk menaikkan darjat kita.
Pendakwah diuji kerana Allah sayang
Ada orang yang menyampaikan kebenaran agama dihina, diejek, bahkan dizalimi.
Mengapa Allah biarkan?
Kerana:
Kesusahan sementara di dunia punyai nilai yang sangat besar di akhirat.
Allah tak pernah sia-siakan air mata, usaha, atau penat seseorang yang berjuang kerana-Nya.
Rahmat Allah meliputi semua orang
Ini yang paling hebat.
Sifat ar-Rahmān Allah meliputi semua makhluk:
orang beriman, orang jahat, orang nakal, orang baik, orang yang tak percaya pada-Nya… semua dapat nikmat:
dapat makan
dapat bernafas
dapat melihat pemandangan cantik
dapat gembira, cinta, ketawa
dapat rezeki
Semua ini tanda kasih sayang Allah yang sangat luas.
Walaupun seseorang tak sujud kepada Allah,
Allah tetap memberi nikmat kepada mereka.
Itulah sifat rahmat Allah:
tak pilih kasih.
الرَّحِيمِ
yang Maha Mengasihani
Kalau ar-Raḥmān ibarat kasih sayang ayah yang tegas dan mendidik,
ar-Raḥīm pula ibarat kasih sayang seorang ibu—kasih sayang yang lembut, memujuk, dan tidak sanggup melihat anaknya menderita terlalu lama.
Begitulah Allah.
Kasih sayang ar-Raḥīm umpama kasih yang tak sanggup lihat kita terseksa
Bayangkan seorang ibu…
Walaupun anaknya susah, nakal, atau ada masalah besar—
seorang ibu tetap:
risau bila anak sakit
sedih bila anak jauh
sayang walaupun anak buat silap
cuba buat apa sahaja untuk elakkan anak disakiti
Begitulah kasih sayang ar-Raḥīm.
Kalau ar-Rahman “membenarkan sedikit kesusahan untuk mendidik,” ar-Raḥīm pula “menghiburkan dan merahmati selepas kesusahan itu.”
Di dunia kita diuji, tetapi di akhirat Allah Ar-Raḥīm tak sanggup biarkan kita dirugikan
Di dunia, Allah izinkan kita berusaha keras:
jaga solat, walaupun malas
lawan hawa nafsu, walaupun susah
sabar dengan dugaan sekolah, kawan, keluarga
cuba berhenti dosa, walaupun ulang-ulang jatuh
Kadang rasa berat, kan?
Tapi bila kita kembali kepada Allah,
Allah ar-Raḥīm tak sanggup melihat seorang mukmin dihukum berpanjangan.
Bila Dia ampunkan,
Dia tak ulang buka fail dosa lama kita.
Tak ungkit.
Tak bagi kita rasa malu.
Semua ditutup, semua dimaafkan—dan Dia masukkan hamba-Nya ke syurga.
Itulah kasih sayang Allah yang jauh lebih suci daripada cinta manusia.
Manusia memaafkan, tapi masih teringat
Allah memaafkan, dan melupakan.
Kita manusia kan, bila maafkan orang:
kadang masih terasa hati
kadang masih teringat apa yang dia buat
kadang masih susah nak percaya balik
Allah tidak begitu.
Kasih sayang ar-Raḥīm sangat sempurna.
Kalau Allah ampunkan,itu bermaksud:
“Aku tak tanya lagi tentang dosa ini.”
“Aku tutup aibmu.”
“Aku mahu kamu dekat dengan-Ku.”
Ar-Raḥīm khas untuk orang beriman
Jika ar-Rahmān diberikan kepada semua makhluk,
ar-Raḥīm pula hadiah istimewa untuk orang beriman.
Ini seperti:
hadiah VIP
kasih sayang eksklusif
layanan penuh cinta di akhirat
Kalau seseorang jauh daripada Allah atau menolak Allah,
dia tak rasa nikmat kasih sayang ar-Raḥīm ini.
Allah ar-Raḥīm adalah Tuhan yang:
tak sanggup melihat kamu diseksa,
sentiasa membuka pintu taubat,
menyembunyikan aib kamu,
mengampunkan dosa kamu,
dan mahu memasukkan kamu ke syurga.
Bila kamu rasa:
“Aku banyak salah…”
“Allah mesti tak sayang aku…”
“Aku tak cukup baik…”
Ingat satu nama ini:
ar-Raḥīm — Allah sangat mengasihi kamu, lebih daripada semua manusia boleh mengasihi kamu.
Rumusan dan pengajaran Al-Fatihah Ayat 1
Susunan Basmallah: daripada umum kepada lebih spesifik dan akhirnya kepada paling lembut
Dalam بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيمِ, Allah susun dengan sangat cantik:
🌟Allah → Nama yang merangkumi semua sifat
🌟ar-Rahmān → kasih sayang besar untuk semua
🌟ar-Raḥīm → kasih sayang lembut khusus untuk orang beriman
Makna halusnya:
🌟Allah nak dekat dengan kita
🌟Kasih sayang-Nya untuk semua manusia
🌟Dan lebih istimewa lagi, kasih sayang berpanjangan dan eksklusif untuk orang beriman
Begitu indah susunan ini.
Bila sebut “Bismillah”, anda sebenarnya zikir, doa dan arahkan diri ke jalan baik
Anda mungkin selalu buat:
makan
buka buku nak study
naik motor
buka phone
nak hantar mesej
nak buat kerja sekolah
Kalau kamu baca Bismillah:
itu jadi doa
itu jadi zikir
itu jadi pengingat untuk buat benda halal
itu jadi penjaga diri daripada dosa
Sebab…
siapa nak kata “Bismillah” sebelum buat maksiat?
Tak ada orang kata:
"Bismillah aku nak mengumpat.”
“Bismillah aku nak tengok benda haram.”
“Bismillah aku nak tipu kawan."
Secara automatik, Bismillah akan menjauhkan anda daripada salah laku.
Kalau anda rasa tak layak nak sebut “Bismillah” sebelum satu perbuatan,
itu tanda perbuatan itu memang tak patut dibuat.
Bila selalu sebut Bismillah, anda akan makin rasa dekat dan sayang Allah
Setiap kali kita sebut:
“Dengan nama Allah…”
kita sebenarnya sedang berkata:
“Ya Allah, aku buat ini sebab Engkau.”
“Ya Allah, aku nak Engkau redha.”
“Ya Allah, aku bergantung pada-Mu.”
Dan bila ini selalu diulang,
hati anda akan rasa:
lebih tenang
lebih yakin
lebih dilindungi
lebih sayang kepada Allah
Begitulah kesan ar-Raḥīm dalam hati manusia!


Leave a comment