Pernah tak masa solat, kita baca Surah al-Fatihah setiap rakaat, tapi sebenarnya tak pasti apa yang istimewa sangat tentang surah ini? Atau mungkin kita tertanya, “Kenapa setiap Muslim wajib baca surah yang sama berulang-ulang?”

Kalau ya, sebenarnya soalan itu menunjukkan kita sudah ada jentikan petunjuk iaitu rasa ingin tahu. Dan rasa ingin tahu inilah kunci pertama untuk belajar dengan bermakna.

Surah al-Fatihah ialah surah yang paling agung dalam al-Qur’an. Ia diturunkan di Mekah dan Madinah, malah ada riwayat yang menyebut ia diturunkan dua kali. Menariknya, seluruh isi utama al-Qur’an seolah-olah diringkaskan dalam surah ini. Sebab itulah ia digelar Ummul Qur’an, iaitu “ibu kepada al-Qur’an”.

Kalau kita melihat isinya dengan ringkas, Surah al-Fatihah boleh difahami melalui tiga bahagian:

  • Ayat 1–3: Mengajar kita memuji Allah.
  • Ayat 4: Ayat yang menggambarkan hubungan kita dengan Allah.
  • Ayat 5–7: Doa dan permintaan kita sebagai hamba.

Nama “al-Fatihah” juga bukan sekadar nama biasa. Ia bermaksud pembukaan, kerana ia membuka bacaan al-Qur’an secara tertulis dan menjadi pembukaan dalam solat. Sebab itu, Nabi ﷺ menyebut bahawa sesiapa yang solat tanpa membaca al-Fatihah, solatnya tidak sempurna.

Selain itu, al-Fatihah juga mempunyai banyak nama-nama lain, contohnya:

  • Ummul Kitab – ibu kepada kitab.
  • As-Sab’ul Mathani – tujuh ayat yang sering diulang.
  • Al-Hamdu – kerana ia bermula dengan pujian kepada Allah.
  • As-Solah – kerana ia berkait rapat dengan sahnya solat.
  • Asy-Syifa’ – sebagai penyembuh.
  • Ar-Ruqyah – digunakan sebagai ayat ruqyah dalam rawatan.

Ada satu Hadith Qudsi yang sangat indah, menunjukkan betapa dekatnya Allah dengan hamba-Nya ketika membaca al-Fatihah. Dalam hadis ini, Allah menjawab setiap ayat yang kita baca. Contohnya, apabila kita membaca:

“Alhamdulillahi Rabbil ‘alamin,”
Allah menjawab: “Hamba-Ku memuji-Ku.”

Dan apabila kita membaca:

 “Iyyāka na‘budu wa iyyāka nasta‘īn,”
Allah berfirman: “Ini antara Aku dengan hamba-Ku, dan untuk hamba-Ku apa yang dia minta.”

Bahagian terakhir surah ini pula ialah doa kita—memohon Allah tunjukkan jalan yang lurus, iaitu jalan orang yang Allah beri nikmat, bukan jalan mereka yang dimurkai atau sesat.

Maksudnya, setiap kali kita baca al-Fatihah dalam solat, kita sebenarnya sedang:

  • memuji Allah,
  • menyatakan kebergantungan kepada-Nya, dan
  • memohon panduan hidup yang betul.

Itulah sebabnya Surah al-Fatihah wajib dibaca di setiap rakaat—sebab ia bukan sekadar bacaan, tetapi komunikasi antara kita dan Allah, ayat demi ayat.

Boleh ya setakat ini? Ok jom kita terus ke








Comments

Leave a comment