Bila Al-Qur’an Mengajar Kita Untuk Merendah Diri

Walaupun Surah Yusuf ini panjang, dari sudut gambaran besar (makro), surah ini sebenarnya boleh dibahagikan kepada tiga perenggan utama.

Dan menariknya, ayat 1 dan 2 sahaja sudah membentuk Perenggan Makro Pertama — iaitu bahagian di mana Allah ﷻ mula menjelaskan tujuan penurunan Al-Qur’an.

الر ۚ تِلكَ ءآيٰتُ الكِتٰبِ المُبينِ

Alif, laam, raa. Itu adalah ayat-ayat Kitab (Al Qur’an) yang nyata (daripada Allah).

Surah ini tidak terus masuk ke dalam cerita Nabi Yusuf. Sebaliknya, Allah ﷻ mengajak kita bersedia dari dalam diri terlebih dahulu.

الر

Alif. Lam. Ra.

Tiga huruf ini dibaca satu per satu.
Bukan sebagai satu perkataan.
Dan… kita tidak tahu apa maksudnya.

Huruf-huruf seperti ini dipanggil huruf muqatta‘ah — huruf yang terpisah dan disebut satu-satu. Ia termasuk dalam ayat mutashabihat, iaitu ayat yang maknanya tidak dijelaskan kepada manusia.

Dan itu bukan kesilapan.
Itu memang disengajakan oleh Allah ﷻ.


Huruf Ini Bukan Hanya Dalam Surah Yusuf

Huruf الر juga muncul di awal beberapa surah lain:

  • Surah Yunus
  • Surah Hud
  • Surah Yusuf
  • Surah Ibrahim
  • Surah Al-Hijr

Walaupun setiap surah ini mempunyai cerita dan fokus yang berbeza, semuanya berkongsi beberapa tema besar yang sama.

Antaranya:

  • Penegasan bahawa Al-Qur’an adalah wahyu daripada Allah ﷻ
  • Kisah para Nabi dan umat terdahulu sebagai pengajaran
  • Penekanan kepada Tauhid
  • Amaran kepada mereka yang mendustakan kebenaran
  • Jawapan terhadap tuduhan orang kafir terhadap Nabi Muhammad ﷺ
  • Tanda-tanda kebesaran Allah di alam semesta

Kesemua surah-surah ini juga diturunkan di Mekah, ketika dakwah Islam berada dalam fasa paling mencabar.


Kenapa Allah Mulakan Dengan Huruf Yang Kita Tak Faham?

Soalan ini penting.

Nabi Muhammad ﷺ tidak pernah menjelaskan maksud huruf muqatta‘ah ini.
Para sahabat juga tidak bertanya.
Dan tiada hadis sahih yang menjelaskan maksudnya.

Bukan kerana huruf ini tidak penting.
Tetapi kerana kita tidak perlu tahu maknanya untuk mendapat hidayah.

Allah ﷻ tidak melakukan sesuatu dengan sia-sia.
Cuma akal manusia ada hadnya.


Ini Pelajaran Besar Untuk Kita

Huruf الر mengajar kita satu perkara yang sangat mendalam:

Kalau Allah tidak mahu ajar, kita tidak akan tahu walaupun satu perkara kecil.

Dalam kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ nanti, kita akan bertemu banyak watak.
Tetapi tidak semua nama disebut.
Tidak semua perincian diceritakan.

Kenapa?

Kerana Al-Qur’an bukan buku sejarah,
tetapi buku petunjuk hidup.

Ada perkara yang manusia sangat ingin tahu,
tetapi Allah ﷻ tidak ceritakan —
kerana ia tidak menambah iman. Kita tidak perlu tahu semuanya.

Dan itu juga satu bentuk rahmat.


Bahasa Arab & Perhatian Orang Mekah

Bangsa Arab pada zaman Nabi ﷺ sangat bangga dengan bahasa mereka.
Syair dan sajak adalah kebanggaan. Ia dipertandingkan di zaman itu.
Karya terbaik digantung di Kaabah.

Jadi bila Al-Qur’an dimulakan dengan huruf seperti Alif. Lam. Ra.,
dibaca satu-satu, bukan sebagai perkataan —
ia mengejutkan mereka.

Mereka jadi tertanya-tanya.
Dan bila tertanya-tanya, mereka mula beri perhatian dan mendengar.

Oleh kerana itu sebahagian ulama mengatakan:
Salah satu hikmah huruf muqatta‘ah ini ialah menarik perhatian manusia kepada Al-Qur’an. Kita pun tertarik juga, bukan?


Satu Cabaran Halus Daripada Allah ﷻ

Ada juga pandangan yang mengatakan:
Huruf muqatta‘ah ini adalah cabaran senyap kepada orang Arab Mekah.

Seolah-olah Allah ﷻ berkata:

“Ini huruf dari bahasa kamu.
Kalau kamu kata Al-Qur’an ini rekaan manusia,
cubalah hasilkan yang sebanding dengannya.”

Dan tentunya mereka tidak mampu.


Jadi… Apa Sebenarnya Maksud Huruf Muqatta‘ah?

Ulama berbeza pandangan. Antaranya:

  1. Ada yang kata setiap huruf mewakili nama tertentu — tetapi tiada dalil sahih
  2. Ada yang kata ada makna, hanya Allah ﷻ yang tahu
  3. Ada yang kata tidak ada makna khusus, tetapi ada hikmah
  4. Ada yang memilih untuk tawaqquf — tidak menentukan apa-apa, dan menyerahkannya kepada Allah ﷻ

Penutup Refleksi

Surah Yusuf bermula dengan sesuatu yang kita tidak faham.

Dan itu bukan kelemahan kita.
Itu peringatan untuk kita merendah diri.

Bahawa ilmu bukan milik kita.
Bahawa kefahaman adalah hadiah.
Dan bahawa Al-Qur’an bukan untuk dipersoalkan dengan ego,
tetapi didekati dengan hati yang tunduk.

Dan daripada titik inilah,
kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan mula membuka satu demi satu rahsia kehidupan manusia.

Al-Qur’an Yang Di Tangan Kita, Tapi Kedudukannya Tinggi

تِلْكَ آيَاتُ الْكِتَابِ
Itulah ayat-ayat Kitab.

Ayat ini pendek.
Tetapi maknanya sangat dalam.

Allah ﷻ tidak berkata “ini” ayat-ayat kitab,
sebaliknya Allah ﷻ gunakan perkataan تِلْكَ“itulah”.

Dan dalam bahasa Arab, تِلْكَ biasanya digunakan untuk sesuatu yang jauh.


Kenapa “jauh”, Sedangkan Al-Qur’an Ada Di Tangan Kita?

Soalan ini penting.

Dalam bahasa Arab, perkataan seperti تِلْكَ dan ذٰلِكَ digunakan untuk dua tujuan:

Pertama, untuk menunjukkan sesuatu yang jauh dari sudut tempat.
Kalau begitu, ia merujuk kepada Al-Qur’an yang asalnya berada di sisi Allah ﷻ, di dalam Lauh Mahfuz.

Allah ﷻ berfirman:

Sesungguhnya ia adalah Al-Qur’an yang mulia,
yang terdapat dalam Kitab yang terpelihara.

(Al-Waqi‘ah: 77–78)

Dalam Islam, kita percaya bahawa Al-Qur’an ini bukan muncul secara tiba-tiba.
Ia adalah sebahagian daripada kitab induk yang berada di sisi Allah ﷻ —
dikenali sebagai Ummul Kitab atau Lauh Mahfuz.

Daripada sumber inilah Allah ﷻ menurunkan semua kitab wahyu:
Taurat, Injil, Zabur — dan akhirnya Al-Qur’an,
diturunkan sedikit demi sedikit, dalam bahasa Arab.


Kisah Lama, Tetapi Diceritakan Semula

Kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bukan cerita baru.
Ia pernah disebut dalam wahyu-wahyu sebelum Al-Qur’an.

Tetapi bila Allah ﷻ menceritakannya semula dalam Al-Qur’an,
Allah ﷻ tidak sekadar mengulang,
sebaliknya menghidupkan kembali kisah itu dengan maklumat tambahan,
dengan sudut pandang yang lebih mendalam,
dan dengan pengajaran yang lebih jelas untuk umat akhir zaman.


Maksud Kedua: Bukan Jauh, Tapi Tinggi

Selain maksud “jauh”,
perkataan تِلْكَ juga digunakan untuk menunjukkan kedudukan yang tinggi dan mulia.

Inilah maksud yang paling kuat dalam ayat ini.

Sama seperti dalam Surah Al-Baqarah ayat 2:

Itulah Kitab, tidak ada sebarang keraguan padanya; petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa.

Allah ﷻ sedang mengingatkan kita:

Walaupun Al-Qur’an berada di tangan kita,
walaupun kita boleh membukanya bila-bila masa,
kedudukannya tidak pernah rendah.

Masalahnya bukan Al-Qur’an itu biasa,
tetapi kita yang sudah terlalu biasa dengannya. Maka kebanyakan kita pandang enteng sahaja dengan Al-Qur’an. Jangan lagi. Mari kita pelajari makna ayat-ayat Allah ﷻ ini.


Kenapa Ayat Al-Qur’an Dipanggil “Ayat”?

Perkataan āyah (آية) secara literal bermaksud tanda. Jamaknya (bila banyak lebih dari satu) ‘Aayat’.

Al-Qur’an tidak memanggil ayat-ayatnya sebagai “baris” atau “perenggan”,
tetapi ‘tanda‘ — kerana setiap satunya menunjuk kepada sesuatu yang lebih besar.

Antaranya:

1. Tanda Kebenaran Allah ﷻ

Setiap ayat adalah bukti bahawa Allah itu benar, Esa, dan Maha Berkuasa.
Dan ia juga bukti bahawa Nabi Muhammad ﷺ benar-benar seorang Rasul.

2. Tanda Jalan Hidup

Seperti papan tanda di jalan raya,
ayat-ayat Al-Qur’an menunjukkan arah hidup —
mana yang betul, mana yang salah, mana yang membawa selamat.

3. Tanda Pelajaran & Peringatan

Kisah-kisah dalam Al-Qur’an bukan untuk hiburan.
Ia adalah cermin untuk kita melihat diri sendiri.
Dan kisah Nabi Yusuf nanti akan mengajar kita banyak perkara tentang sabar, maruah, dan kepercayaan kepada Allah.

4. Mukjizat Yang Sentiasa Hidup

Mukjizat Nabi Muhammad ﷺ bukan sesuatu yang hanya boleh dilihat pada zaman dahulu.
Mukjizat baginda masih ada hari ini. Mukjizat-mukjizat Nabi lain kita tidak boleh hendak lihat sekarang, bukan?

Kalau ditanya:

“Apa mukjizat Nabi kamu?”

Kita boleh jawab:

“Ini.”
Sambil tunjuk mushaf Al-Qur’an.
Atau telefon pintar di tangan kita.

5. Tanda Pemisah

Setiap ayat juga memisahkan satu makna dengan makna yang lain.
Supaya manusia boleh membaca, berhenti, dan berfikir.

6. Tanda Alam Semesta

Perkataan āyah juga digunakan untuk matahari, hujan, siang dan malam.
Ini mengajar kita bahawa wahyu dan alam sama-sama menunjuk kepada Tuhan yang sama.


Kenapa Allah ﷻ Gunakan Perkataan “Kitab”?

Perkataan الْكِتَابِ bermaksud sesuatu yang tertulis. Dalam Bahasa Melayu, ia menjadi ‘buku’.

Sedangkan ketika Al-Qur’an diturunkan:

  • ia disampaikan secara lisan
  • masyarakat Arab ketika itu tidak terkenal dengan budaya menulis
  • buku hampir tidak wujud

Namun Allah ﷻ tetap memanggilnya Kitab.

Seolah-olah Allah ﷻ sedang memberitahu:

“Suatu hari nanti, wahyu ini akan dikumpulkan,
dijaga,
dan berada di setiap rumah orang beriman.”

Dan hari ini,
Al-Qur’an bukan sahaja ada di rak buku,
tetapi juga di dalam poket kita.


Penutup Refleksi

Allah ﷻ memulakan kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan mengangkat Al-Qur’an terlebih dahulu.

Seolah-olah Allah ﷻ sedang berkata:

“Sebelum kamu dengar ceritanya,
hormatilah sumbernya.”

Al-Qur’an ini dekat dengan tangan kita,
tetapi sepatutnya lebih dekat dengan hati kita.

Dan kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang akan kita baca selepas ini,
bukan sekadar kisah seorang Nabi,
tetapi kisah tentang manusia, ujian, dan harapan.


المُبينِ

Jelas… dan Menjelaskan

Perkataan المُبينِ bermaksud
yang jelas, dan yang menjelaskan.

Bila Allah ﷻ gunakan perkataan ini,
ia memberi isyarat awal tentang cara Surah Yusuf ini disampaikan.

Kisah-kisah dalam surah ini bukan rekaan,
bukan cerita lisan yang diolah-olah,
tetapi datang terus daripada wahyu Allah ﷻ.

Ia adalah dalil naqli
kisah yang Allah sendiri ceritakan kepada manusia.


Perbandingan Menarik Dengan Surah Yunus

Dalam Surah Yunus, pembukaannya berbunyi:

Itulah ayat-ayat Kitab yang penuh hikmah.

Di situ Allah ﷻ guna perkataan الحَكِيمِYang Maha Bijaksana.

Maka sepanjang Surah Yunus,
kita akan jumpa banyak hikmah hidup:

  • hikmah tauhid
  • hikmah melihat alam
  • hikmah memahami diri dan kehidupan

Tetapi dalam Surah Yusuf,
Allah ﷻ guna perkataan المُبينِ.

Kenapa?

Kerana kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah antara kisah para Nabi
yang paling jelas, tersusun, dan lengkap diceritakan dalam Al-Qur’an.


Al-Qur’an Itu Jelas… Tapi Untuk Siapa?

Allah ﷻ memberitahu bahawa Al-Qur’an ini jelas nyata.

Namun, jelas itu bukan untuk semua orang.
Ia jelas kepada mereka yang MAHU belajar.

Yang rasa Al-Qur’an susah difahami selalunya bukan sebab Al-Qur’an itu rumit,
tetapi sebab tidak pernah cuba belajar tafsir dan tadabbur.

Sebenarnya,
belajar tafsir Al-Qur’an tidak sesukar yang disangka.
Malah, ia tidak pun lebih susah daripada belajar subjek Biologi SPM.


Apa Yang Jadi Jelas Bila Kita Belajar Tafsir?

Bila kita belajar dan memahami Al-Qur’an,
beberapa perkara akan menjadi sangat jelas:

Pertama,
kita akan yakin bahawa Al-Qur’an ini benar-benar daripada Allah ﷻ,
bukan ciptaan Nabi Muhammad ﷺ,
dan bukan hasil rekaan manusia.

Kalau ia rekaan manusia,
tidak mungkin manusia gagal mencipta sesuatu yang setanding dengannya —
sedangkan Allah ﷻ sudah beri cabaran itu berulang kali.

Kedua,
jadi jelas apa yang Allah ﷻ mahukan daripada kita.

Allah ﷻ tidak turunkan Al-Qur’an sebagai hiburan,
tetapi sebagai panduan untuk berubah:

  • daripada buruk kepada baik
  • daripada jalan menuju neraka kepada jalan menuju syurga

Tanpa belajar tafsir,
kita mungkin membaca —
tetapi tidak benar-benar faham apa yang Allah ﷻ kehendaki.


Bukan Sekadar Jelas, Tetapi Menjelaskan

Al-Qur’an bukan sahaja jelas pada dirinya,
tetapi ia juga menjelaskan kebenaran.

Bahasanya tidak berpusing-pusing.
Tidak sengaja mengelirukan.
Ia menggunakan bahasa yang boleh difahami oleh manusia.

Tetapi untuk faham,
kita tetap perlu berusaha belajar.


Soalan Penting: Kalau Jelas, Kenapa Ramai Tak Ikut?

Ini soalan yang jujur.

Kalau Al-Qur’an itu jelas,
kenapa masih ramai yang buat tidak endah?

Jawapannya mudah,
tetapi berat tanggungjawabnya.

👉 Orang yang sudah faham, perlu jelaskan kepada orang lain.

Itulah maksud menjelaskan.

Kalau kita tahu sesuatu yang baik,
kita secara semula jadi mahu berkongsi.

Cuma persoalannya:
apa yang kita pilih untuk kongsi?

Daripada hanya berkongsi:

  • video hiburan
  • gosip
  • perdebatan politik
  • drama yang tidak berkesudahan

Alangkah baiknya kalau kita juga berkongsi:

  • satu ayat Al-Qur’an
  • satu pengajaran
  • satu refleksi hidup

Penutup Refleksi

Surah Yusuf bukan sekadar kisah indah.
Ia adalah kisah yang Allah ﷻ susun dengan sangat jelas,
supaya manusia boleh belajar daripadanya.

Dan bila Allah ﷻ sebut المُبينِ,
Allah sedang memberitahu:

“Aku sudah jelaskan.
Sekarang terpulang kepada kamu untuk memahami,
dan seterusnya menyampaikan.”

Dan kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang akan datang selepas ini
akan membuktikan satu perkara besar:

👉 Kebenaran akhirnya akan tetap menjadi JELAS.

Boleh muat turun versi pdf untuk Ayat 1 di sini

Jelas bukan setakat ini? Jom kita ke ayat seterusnya

Atau balik ke


Comments

Leave a comment