رَبَّنا لا تُزِغ قُلوبَنا بَعدَ إِذ هَدَيتَنا
وَهَب لَنا مِن لَّدُنكَ رَحمَةً ۚ إِنَّكَ أَنتَ الوَهّابُ
(Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.
Rahsia Doa Tetapkan Hati (Surah Ali Imran Ayat 8): Petua Kekal Istiqamah
Pernah tak anda rasa iman atau semangat beribadah sekejap naik, sekejap turun? Dalam Surah Ali Imran ayat 8, Allah SWT mengajar kita satu doa yang sangat padat dan indah untuk menjaga ketetapan hati agar tidak mudah terpesong. Doa ini bukan sahaja lafaz permohonan, malah mengandungi strategi rohani yang amat dalam.
1. Siapa yang Membaca Doa Ini?
- Bukan Orang Biasa, Tapi Ulama Hebat: Doa ini diabadikan sebagai amalan golongan Ar-Rasikhuna fil ‘Ilm — iaitu orang yang sangat mendalam ilmu dan mantap imannya.
- Iman Boleh Turun dan Naik: Walaupun ilmu mereka sudah mantap, mereka tetap berdoa kerana menyedari hakikat bahawa iman manusia tidak kekal setara, sebaliknya mempunyai tingkatan dan boleh berubah-ubah.
- Bukti dari Hadis: Nabi SAW menjelaskan bahawa iman mempunyai 60 atau 70 lebih cabang — daripada ucapan ‘La ilaha illallah’ sehinggalah membuang gangguan di jalanan. Jadi kita kena jaga iman kita.
- Peringatan Diri: Jika orang yang hebat ilmunya pun merasa bimbang akan perubahan hati mereka, apatah lagi kita yang masih bertatih.
2. Rahsia Bahasa Dalam Doa “Rabbana”
- Tanpa Perkataan “Ya”: Doa ini bermula dengan panggilan Rabbana tanpa menggunakan huruf panggil “Ya”. Ini merupakan isyarat bahawa hubungan kita sangat dekat dengan Allah SWT.
- Tawasul (perantaraan) Menggunakan Nama Rabb: Kita menyeru nama Rabb kerana Sifat Rabb kerana Dialah yang menguruskan segala urusan hidup manusia.
- Memikirkan Orang Lain (Qulubana): Lafaz doa ini menggunakan perkataan “hati-hati kami” (qulubana), bukannya “hati aku”. Ini mengajar kita supaya tidak mementingkan diri sendiri, sebaliknya turut mendoakan keselamatan hati kawan-kawan dan masyarakat.
3. Kenapa Hati Boleh Terpesong (Zaygh)?
- Bahaya Terlalu Bergantung pada Akal: Hati boleh cenderung kepada kesesatan (zaygh) apabila seseorang terlalu membanggakan intelek sendiri atau sibuk meredah perkara ghaib dan ayat-ayat samar (Mutashabihat) yang tidak perlu diperdebatkan.
- Hidayah Milik Allah: Kita wajib memohon perlindungan kerana hidayah boleh ditarik balik jika seseorang mula berpaling dan ada masalah dalam hatinya.
- Nabi SAW Kerap Berdoa: Rasulullah SAW sendiri sentiasa membaca doa “Ya Muqallibal qulub thabbit qalbi ‘ala dinik” kerana hati manusia berada di antara dua jari Ar-Rahman dan Allah membolak-balikkan hati mengikut kehendak-Nya.
4. Formula Takhliyah Qabla At-Tahliyah (Basuh Dulu, Baru Isi!)
Satu susunan yang sangat hebat dalam doa ini ialah penggunaan Kaedah At-Takhliyah Qabla At-Tahliyah (Pembersihan Sebelum Pengisian):
- At-Takhliyah (Membersihkan kotoran): Minta diselamatkan daripada penyelewengan hati terlebih dahulu (La tuzigh qulubana).
- At-Tahliyah (Mengisi kebaikan): Selepas hati bersih, barulah minta dicurahkan rahmat dan keteguhan (Wa hab lana min ladunka rahmatan).
- Contoh Analogi: Bayangkan anda mempunyai sebuah cawan yang kotor. Anda wajib membasuh kotorannya terlebih dahulu (Takhliyah), barulah anda tuangkan susu yang bersih ke dalamnya (Tahliyah). Jika susu dituang ke dalam cawan kotor, susu itu akan rosak. Begitulah hati, ia perlu dibersihkan daripada penyakit agar rahmat Allah dapat bertapak dengan subur.
5. Mengingati Nikmat Lalu (Ba’da Idh Hadaitana)
- Maksud إِذ: Penggunaan perkataan إِذ (merujuk peristiwa lalu) bermaksud kita mengingat kembali detik-detik manis ketika kita pernah merasa sangat dekat dan manis beriman kepada Allah. Rasa iman tinggi ketika itu.
- Tawasul (perantaraan) dengan Iman: Ini merupakan tawasul yang disukai agama — iaitu merayu kepada Allah dengan menggunakan nikmat hidayah yang lalu untuk memohon rahmat yang berterusan pada masa hadapan.
6. Al-Wahhab: Sinar Harapan Apabila Terbabas
- Tuhan Yang Maha Pemberi: Doa ini ditutup dengan memuji nama Allah Al-Wahhab.
- Maksud: Dari sudut tatabahasa Arab, Al-Wahhab bermaksud Allah memberi kurniaan yang amat bernilai tinggi (seperti hidayah) serta memberi secara berulang-ulang tanpa henti dan tanpa mengharap balasan.
- Pendorong Harapan: Jika iman kita pernah turun atau kita terlanjur melakukan dosa, jangan berputus asa. Sifat Al-Wahhab memberi jaminan bahawa Allah sentiasa bersedia mengurniakan kembali hidayah dan rahmat kepada hamba-Nya yang memohon.
🌱 Doa mereka bukan setakat ini sahaja. Mari lihat sambungan doa mereka di dalam ayat seterusnya.

Leave a comment